Wabak Denggi Terus Ragut Nyawa Rakyat Malaysia

. Minggu, 23 Februari 2014

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan melaporkan kes denggi terus meningkat dengan terbaharu seramai tiga individu maut akibat wabak itu di Perak dan Johor pada minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, kes kematian itu melibatkan seorang lelaki yang berusia 45 tahun dan dua surir umah masing-masing berusia 65 tahun.

“Dua daripada kediaman kes merupakan kawasan berwabak denggi dan tinjauan pemeriksaan pembiakan aedes di kawasan kediaman mendapati kadar pembiakan adalah tinggi.

“Jumlah kumulatif kematian akibat denggi sehingga kini berjumlah 74 kematian berbanding hanya 33 kematian yang dilaporkan di seluruh Malaysia dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Lokman Hakim dalam pada itu memaklumkan telah memeriksa 97,725 premis di seluruh negara dan menemui 1,793 premis yang mempunyai pembiakan aedes.

Sementara itu, katanya, terdapat lapan negeri yang menunjukkan peningkatan kes denggi iaitu Perak 20 kes, Pahang (6), Kelantan (5), Selangor (5), Kedah (2), dan masing-masing satu kes di Perlis, Negeri Sembilan dan Johor.

Jelasnya, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan dari Januari sehingga 30 November 2013 sebanyak 36,021 kes berbanding cuma 19,920 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil inisiatif membersihkan persekitaran tempat tinggal dengan memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan aedes bersempena cuti sekolah ini.

Kawasan- kawasan tumpuan masyarakat sewaktu cuti persekolahan juga perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak seperti kawasan rekreasi, pusat peranginan, pusat beli belah, kawasan pengangkutan awam serta kawasan rehat dan rawat.

“Ia termasuk melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di tempat-tempat berpotensi seperti di kolam hiasan, pasu bunga, lanskap dan tandas awam bagi memastikan tiada pembiakan aedes,” katanya.

0 komentar: