Pemuda PAS sokong gesaan agar Nazri bercuti

. Jumat, 21 Februari 2014

Harakahdaily

  06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat Datuk Seri Nazri Aziz sepatutnya tahu batas perhubungan khususnya dengan mereka yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.

Ketua peneranganya, Riduan Mohd Nor berkata, hubungan dengan individu seperti itu hanya akan mewujudkan pandang serong masyarakat lebeih-lebih lagi beliau merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang negara.

"Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang negara, beliau semestinya tahu batas-batas pergaulan supaya tidak dilihat serong.

"Kes ini akan dilihat pelik sekiranya beliau atau anak beliau mempunyai hubungan dengan individu yang sudah terpalit dengan rasuah," katanya.

Beliau mengulas pendedahan PKR sebelum ini yang mendakwa keluarga Nazri ada kaitan dengan Michael Chia, jutawan balak kontroversi yang pernah ditangkap di Hong Kong dalam percubaan untuk menyeludup wang.

Hubungan itu yang didedahkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, adalah berupa kenderaan mewah SUV Hummer yang diguna oleh anak Nazri, Nedim.

"Saya bersetuju dengan cadangan Rafizi Ramli, supaya Datuk Seri Nazri Aziz mengambil cuti sebagai Menteri Kabinet ekoran dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadap menteri undang-undang itu," kata Riduan lagi.

Menurut Riduan lagi, Nazri perlu bercuti kerana beliau adalah menteri undang-undang dan SPRM berada di bawah tanggungjawab beliau.

SPRM katanya, tidak mampu bertindak bebas dan telus jika badan itu berada di bawah individu yang turut dikaitkan dengan isu rasuah.

"Kebenaran perlu dibuktikan dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak perlu gusar sekiranya beliau berada di pihak yang benar.

"Jika Datuk Seri Shahrizat Jalil sanggup bercuti malah melepaskan jawatannya, Datuk Seri Nazri sepatutnya bersikap lebih gentleman dengan mengambil pendirian yang sama iaitu dengan bercuti bagi memberi peluang kepada SPRM menyiasat dakwaan yang dilemparkan terhadapnya," kata Riduan lagi.

Jika Nazri menyahut seruan bercuti itu kata Riduan, menteri itu akan terus dihormati kerana mempunyai prinsip yang jelas dan tegas terhadap rasuah dengan sanggup menjadikan dirinya role model yang boleh dicontohi oleh masyarakat.

0 komentar: