Empat sahabat didakwa curi

. Senin, 17 Februari 2014
Kesemua mereka dikawal ketat anggota polis ketika keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.

KOTA BHARU - Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan pecah masuk chalet dan mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga.

Zukri Omar, 33, Abd Malik Ismail, 29, Ibrahim Abdullah, 23, dan Mohd Asri Mat Jusoh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mereka didakwa secara bersama pecah masuk chalet di Kandis, Bachok itu pada jam 2 pagi, 26 Jun lalu.

Ketika itu, mereka dituduh mencuri dua cincin berlian, seutas rantai platinum berloket berlian, gelang berlian dan dua anting-anting platinum dan berlian, gelang swarovski serta cincin zamrut.

Turut dicuri, dua jam tangan yang satunya jam tangan berlian dan telefon pintar serta tablet yang keseluruhannya bernilai RM786,000.

Tuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Hakim, Mohd Yusuf Yunus membenarkan keempat-empat mereka bebas sementara dengan jaminan RM16,000 setiap seorang. Kes bersambung 19 September depan.

Dalam perkembangan sama, Abd Malik turut dituduh secara berasingan menjual kesemua barangan itu kepada seorang lelaki di Taabai, Thailand sehari selepas kejadian curi itu.


0 komentar: