UMNO Pulai Sokong Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu.
Beliau berkata, Ahmad Zahid dianggap sebagai gandingan terbaik bersama Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.
“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Pulai memberi sokongan terbuka kepada Ahmad Zahid untuk mengekalkan jawatan berkenaan dalam pemilihan parti Oktober ini.
“Kewibawaan beliau terbukti sama ada di peringkat parti dan kerajaan, dan saya rasa perwakilan UMNOP dapat melihat sumbangan beliau kepada parti dan negara,” katanya melalui satu kenyataan media.
Media pada 21 Julai lalu melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan akan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Beliau berkata, keputusan tersebut telah dijelaskan sebelum ini dan menerima secara terbuka sekiranya ada pihak mahu merebut jawatan tersebut.
Turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
0 komentar:
Posting Komentar